GIRONA, 3 DIS – Rodrygo meneruskan prestasi cemerlangnya untuk menjaringkan gol bagi membantu Real Madrid menang 2-0 ke atas Granada kelmarin dan merampas semula pendahulu dalam La Liga.
Selepas pasukan kecil Catalan, Girona meraih kemenangan 2-1 ke atas Valencia, mereka menduduki tempat teratas buat sementara waktu, tetapi Madrid mengetepikan mereka menerusi perbezaan gol pada malam yang tenang di ibu negara.
Brahim Diaz membuka jaringan pada pertengahan babak pertama dan Rodrygo menggandakan jaringan selepas 57 minit di Santiago Bernabeu.
Penyerang Brazil itu telah menjaringkan tujuh gol dalam lima perlawanan terakhirnya di semua kejohanan, muncul pada masa yang tepat untuk mengekalkan prestasi cemerlang Madrid pada musim ini walaupun ketiadaan beberapa pemain.
Madrid kehilangan beberapa pemain utama akibat kecederaan, daripada penjaga gol, Thibaut Courtois hingga pemain sayap, Vinicius Junior.

Walau bagaimanapun, Los Blancos mempunyai kelebihan yang mencukupi untuk mengatasi pasukan dari Andalusia, yang berada di tempat ke-19 dan berjuang mengelakkan penyingkiran.
“Rodrygo telah kembali ke tahap terbaiknya, menjaringkan banyak gol,” kata Ancelotti kepada wartawan.
Tanpa mencipta terlalu banyak peluang, Madrid dengan pantas mengawal permainan.
Selepas 26 minit, hantaran cemerlang Kroos memberikan laluan kepada Diaz yang tenang menjaringkan gol dan meletakkan Madrid di hadapan.
Ia merupakan gol kedua bekas pemain Manchester City itu dalam empat perlawanan, dengan Diaz menunjukkan dia boleh membantu Rodrygo mengisi jurang yang ditinggalkan oleh kecederaan Vinicius.
“Kami bermain dengan gaya bola sepak yang kami tahu, ia adalah permainan yang hampir sempurna, kami mendominasi perlawanan dan mereka mencipta sedikit peluang menentang kami,” kata Diaz kepada Real Madrid TV. – AFP