AMSTERDAM, 23 DIS – Pelumba basikal dari Slovenia, Primoz Roglic akan menumpukan perhatian kepada Giro d’Italia pada musim depan, manakala rakan sepasukan, Jonas Vingegaard akan mempertahankan gelaran juara Tour de France, kata pasukan Jumbo-Visma kelmarin.
Pelumba berusia 33 tahun, Roglic mendapat tempat kedua dalam Tour de France 2020.
Beliau gagal menamatkan dua edisi terakhir perlumbaan selepas terbabas, namun pada tahun lepas dia berjaya membantu Vingegaard mendapatkan jersi kuning.
Pelumba dari Denmark itu kemudiannya memenangi perlumbaan tersebut.
“Wilco Kelderman akan membantu beliau dan kami akan membina pasukan yang kuat di sekeliling Primoz,” kata pengarah sukan, Merijn Zeeman semasa persembahan kumpulan.
“Mempunyai dua orang ketua yang kuat merupakan satu kelebihan dan kami akan berikan yang terbaik untuk memenangi Giro kali ini.”
Roglic, yang mempunyai tiga gelaran juara Vuelta, bukanlah satu-satunya nama besar yang akan terlepas peluang berlumba dalam Tour de France 2023.
Pada bulan lepas, juara Vuelta dan perlumbaan jalan raya dunia dari pasukan Quick-Step Alpha Vinyl, Remco Evenepoel mengumumkan dia juga akan bertanding dalam Giro dan meninggalkan Tour de France. – AFP
