SEREMBAN, 10 APRIL – Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara berjumlah 28 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya yang di bawah umur pada 2017 dan 2018.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang berusia 47 tahun mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.
Surita menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala penjara lapan tahun dan satu sebatan serta tambahan dua tahun penjara dan dua sebatan bagi pertuduhan kedua.
Bagaimanapun, tertuduh hanya menjalani hukuman penjara 18 tahun dan 13 sebatan selepas mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 3 April lepas.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun dalam sebuah bilik tidur di rumah mereka di Jempol dekat sini, pada 12:01 tengah malam antara 20 hingga 31 Disember 2017.
Dia turut didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang ketika itu berumur 12 tahun dua bulan di lokasi dan waktu sama antara 11 hingga 30 April 2018.
Mengikut fakta kes, mangsa cuba memberitahu perkara itu kepada ibu dan adik-beradiknya selepas kejadian, tetapi dinafikan tertuduh sehingga ibu mangsa tidak mempercayai mangsa.
Bagaimanapun, pada tahun ini, mangsa yang berusia 17 tahun memberitahu rakannya mengenai perbuatan tertuduh dan melaporkan kepada guru pada 3 April seterusnya membuat laporan polis pada hari sama. – Bernama


