OSLO, 30 MAC – Roket orbital pertama yang dilancarkan dari benua Eropah terhempas beberapa saat selepas dilancarkan hari ini, memberi tamparan kepada usaha benua itu untuk membina ekonomi angkasa baharu.
Roket Spectrum, yang dibangunkan oleh syarikat pemula Jerman Isar Aerospace, mula mengeluarkan asap dari sisi roket, sebelum terhempas kembali ke Bumi dengan letupan kuat hanya beberapa saat selepas dilancarkan dari Lapangan Terbang Angkasa Andoya di Norway, di Artik, dalam siaran langsung di YouTube.
Roket orbital direka untuk meletakkan muatan seperti satelit ke orbit Bumi atau lebih jauh lagi.
Pelancaran Spectrum adalah yang pertama untuk kenderaan pelancar orbital dari benua Eropah, kecuali Rusia dan yang pertama dibiayai hampir sepenuhnya oleh sektor swasta di Eropah.
Pelancaran tersebut telah ditunda berulang kali disebabkan oleh keadaan cuaca dan Isar Aerospace telah merendahkan jangkaan mereka.
“Setiap saat penerbangan adalah baik kerana kami mengumpul data dan pengalaman. Tiga puluh saat sudah menjadi kejayaan yang besar,” kata Daniel Metzler, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, sebelum pelancaran.
“Kami tidak menjangkakan untuk mencapai orbit dengan ujian ini. Sebenarnya, tiada syarikat yang pernah berjaya meletakkan kenderaan pelancar orbital pertama mereka ke orbit.” – AFP
