WASHINGTON, 23 MAC – Roket cetakan 3D pertama di dunia berjaya dilancarkan semalam, menandakan satu langkah ke depan untuk syarikat California di sebalik kapal angkasa inovatif itu, walaupun ia gagal sampai ke orbit.
Dianggap kurang mahal untuk dibangunkan dan terbang, roket Terran 1 dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida pada pukul 11:25 malam tetapi mengalami ‘kejanggalan’ semasa pemisahan peringkat kedua ketika ia menuju ke orbit Bumi, menurut siaran langsung daripada firma pemula aeroangkasa, Relativity Space.
Syarikat itu tidak memberikan butiran lanjut.
Sementara ia gagal sampai ke orbit, pelancaran semalam membuktikan roket itu dengan jisim terdiri daripada 85 peratus cetakan 3D mampu bertahan kerumitan pelancaran tersebut.
Kejayaan pelancaran itu merupakan percubaan kali ketiga. Ia pada asalnya dijadual dilancarkan pada 8 Mac tetapi ditunda pada saat terakhir disebabkan isu suhu bahan dorong.
Percubaan kedua pada 11 Mac dibatalkan disebabkan masalah tekanan bahan api.
Sekitar 85 peratus daripada jisimnya dicetak 3D dengan aloi besi, termasuk sembilan enjin Aeon 1 yang digunakan dalam peringkat pertama dan enjin Aeon Vacuum yang digunakan dalam peringkat kedua.
Ia merupakan objek cetakan 3D terbesar dan dibangunkan menggunakan pencetak besi 3D terbesar di dunia, menurut syarikat yang berpangkalan di Long Beach. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/03/P14-3-Roket_24032023.jpg)