Friday, January 17, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Roket gergasi Blue Origin berlepas ke angkasa pertama kali

    CAPE CANAVERAL, 16 JAN – Blue Origin, syarikat angkasa lepas yang diasaskan oleh bilionair Jeff Bezos, berjaya melancarkan roket gergasi New Glenn ke orbit buat pertama kali hari ini, menandakan satu pencapaian penting dalam perlumbaan angkasa komersial.

    Roket itu, yang pelancaran sulungnya telah ditangguhkan selama beberapa tahun, berlepas pada 2:03 pagi waktu tempatan dari Cape Canaveral Space Force Station, Florida, menurut siaran langsung yang disiarkan oleh syarikat itu.

    Misi tersebut dilihat sebagai langkah pen-ting dalam usaha Blue Origin untuk bersaing dengan SpaceX, syarikat milik Elon Musk, yang kini menguasai industri angkasa lepas komersial.

    “PELANCARAN BERJAYA! New Glenn memulakan peluncurannya ke angkasa buat kali pertama,” kata Blue Origin dalam hantaran di platform media sosial X.

    Beberapa minit kemudian, syarikat itu mengesahkan bahawa ‘New Glenn telah melepasi Garis Karman, sempadan antarabangsa yang menandakan permulaan ruang angkasa.’

    Dalam kenyataan rasmi, Blue Origin turut memaklumkan bahawa enjin peringkat kedua roket itu telah mencapai ‘orbit terakhir,’ manakala prototaip kapal angkasa canggih Blue Ring, yang turut dihantar dalam misi itu, ‘berfungsi dengan baik dan sedang menerima data.’

    Bagaimanapun, syarikat tersebut mengesahkan bahawa penggalak peringkat pertama, yang direka untuk digunakan semula, gagal diselamatkan semasa proses pendaratan.

    “Saya amat berbangga kerana New Glenn berjaya mencapai orbit dalam percubaan pertamanya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Blue Origin, Dave Limp, dalam kenyataannya. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda