Tuesday, October 1, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Roket hentam kawasan berhampiran Lapangan Terbang Baghdad

    BAGHDAD, 1 OKT – Dua roket Katyusha menghentam kawasan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad hari ini, namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan, menurut pihak tentera Iraq, lapor Xinhua.

    Serangan itu berlaku pada 12:20 pagi waktu tempatan Selasa (9:20 malam GMT Isnin) apabila dua roket menghentam kawasan berhampiran lapangan terbang, dengan satu  daripadanya mengenai pangkalan Perkhidmatan Antikeganasan Iraq, menurut kenyataan jurucakap Komando Operasi Bersama Iraq, Tahsin al-Khafaji.

    Pasukan keselamatan Iraq menemukan pelancar roket di atas sebuah trak yang ditinggalkan di kejiranan al-Ameriyah di barat Baghdad dan berjaya mematikan beberapa roket yang tidak dilepaskan dalam pelancar itu, kata al-Khafaji, sambil menambah bahawa maklumat lanjut akan dikeluarkan kemudian.

    Sementara itu, sumber Kementerian Dalam Negeri memberitahu Xinhua bahawa pasukan Iraq mengepung kawasan kejiranan berkenaan dan melancarkan siasatan bagi mengenal pasti penyerang.

    Beliau berkata serangan itu nampaknya menyasarkan pangkalan tentera Iraq yang menempatkan pakar ketenteraan Amerika Syarikat (AS) berhampiran lapangan terbang.

    Tiada kumpulan setakat ini mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

    Pangkalan tentera Iraq yang menempatkan tentera AS dan kedutaan AS di Zon Hijau Baghdad sering menjadi sasaran serangan mortar dan roket yang tidak diketahui punca. – Bernama

    GAMBAR AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda