Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Roket ‘sambut’ duta AS ke Seoul

    SEOUL, 9 Mei – Korea Utara mengalu-alukan lawatan duta Amerika Syarikat (AS) ke Seoul dengan melancarkan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu untuk kali kedua dalam seminggu hari ini, kata tentera Selatan, tatkala Pyongyang berusaha menambah taruhan dalam rundingan nuklear yang terbuntu dengan Washington.

    Pelancaran diadakan selepas Korea Utara menjalankan satu latihan tentera dan menembak beberapa roket pada Sabtu, dengan sekurang-kurangnya satu peluncur dipercayai peluru berpandu jarak pendek.

    Ia juga berlaku beberapa jam selepas Wakil Khas AS berhubung Korea Utara, Stephen Biegun, tiba di Seoul lewat semalam untuk rundingan dengan pegawai-pegawai Korea Selatan mengenai pendekatan sekutu terhadap Pyongyang.

    Ia merupakan lawatan pertama Biegun ke Seoul sejak sidang kemuncak di antara Presiden AS Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Hanoi menemui kegagalan tanpa sebarang perjanjian mengenai pengunduran program nuklear Pyongyang sebagai tukaran kepada pembatalan sekatan.

    “Kami masih menganalisis sama ada ia merupakan satu atau beberapa peluncur,” beritahu jurucakap Ketua Turus Tentera Kim Joon-rak kepada AFP, menambah pelancaran yang ditembak ke arah timur nampaknya berasal dari Sino-ri di wilayah Pyongan Utara.

    Pangkalan peluru berpandu operasi Sino-ri yang berusia beberapa dekad, 75 kilometer dari barat laut Pyongyang, ialah salah satu pusat peluru berpandu paling lama di Korea Utara dan menempatkan unit sebesar rejimen yang dilengkapi dengan peluru berpandu balistik jarak sederhana Nodong-I, menurut Pusat untuk Kajian Strategik dan Antarabangsa. Apa-apa yang ditembak darinya yang menghala ke timur perlu melintasi semenanjung Korea sebelum sampai ke laut. Biegun bertemu dengan rakan sejawatan Korea Selatan Lee Do-hoon untuk sarapan hari ini tetapi sebahagian besar jadualnya tidak diumumkan kepada orang awam.

    Duta AS itu dijangka bertemu dengan menteri-menteri luar dan penyatuan Selatan esok tatkala sekutu keselamatan, Washington menempatkan 28,500 tentera di Selatan untuk mempertahannya daripada jirannya, memikirkan pendekatan mereka terhadap Pyongyang.

    Dengan pelancaran pada hari ini, Hong Min, seorang penyelidik di Institut Korea untuk Penyatuan Nasional, berkata “Korea Utara sedang menghantar satu pesanan yang jelas bahawa ia tidak akan berpuas hati dengan bantuan kemanusiaan” yang sedang dipertimbangkan oleh Seoul.

    “Kami mahu jaminan keselamatan sebagai tukaran kepada proses pelucutan senjata nuklear,” tambah beliau. – AFP

    Orang awam di sebuah stesen kereta api di Seoul kelmarin menonton berita televisyen yang menunjukkan gambar fail pelancaran roket Korea Utara. Pyongyang mengalu-alukan lawatan duta AS ke Seoul dengan melancarkan sekurang-kurangnya satu roket untuk kali kedua dalam enam hari kelmarin, kata tentera, tatkala Pyongyang berusaha menambah taruhan dalam rundingan nuklear yang buntu dengan Washington. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda