HOUSTON, 19 JUN – Salah satu roket Starship milik bilionair teknologi, Elon Musk, telah meletup semasa ujian rutin lewat semalam di Texas, menurut pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang. Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
Menurut kenyataan di Facebook oleh pihak berkuasa Daerah Cameron, roket Starship 36 mengalami ‘kegagalan menyeluruh dan meletup’ di fasiliti pelancaran Starbase, tidak lama selepas jam 11 malam.
Syarikat SpaceX milik Musk memaklumkan bahawa roket itu sedang bersiap sedia untuk ujian penerbangan kali ke-10 apabila ia mengalami anomali besar semasa berada di tapak ujian di Starbase.
“Kawasan keselamatan di sekitar tapak dikekalkan sepanjang operasi, dan semua kakitangan berada dalam keadaan selamat serta telah dikenal pasti,” tambah SpaceX menerusi media sosial.
“Tiada sebarang ancaman kepada penduduk komuniti sekitar, dan kami memohon orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan tersebut sementara operasi keselamatan sedang dijalankan.”

Starbase, yang terletak di pesisir selatan Texas berhampiran sempadan dengan Mexico, merupakan ibu pejabat bagi projek angkasa lepas kendalian Musk.
Dengan ketinggian 403 kaki, Starship merupakan roket terbesar dan paling berkuasa di dunia serta merupakan komponen utama dalam visi jangka panjang Musk untuk menjajah planet Marikh.
Letupan itu merupakan satu lagi kemunduran selepas sebuah prototaip Starship turut meletup di atas Lautan Hindi pada akhir Mei lalu.
Kenderaan pelancar terbesar dan terkuat yang pernah dibina itu berlepas pada 27 Mei dari fasiliti Starbase, namun tahap pertama roket Super Heavy meletup dan gagal melakukan pendaratan seperti yang dirancang di Teluk Mexico.
Dua pelancaran terdahulu juga berakhir dengan kegagalan, apabila bahagian atas roket hancur di udara di atas Laut Caribbean. – AFP