GENEVA, 7 OKT – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin memberi amaran bahawa rokok elektronik atau e-rokok sedang mencetuskan gelombang baharu ketagihan nikotin yang membimbangkan, dengan jutaan kanak-kanak kini ketagih kepada rokok vape.
WHO menyatakan bahawa di negara-negara yang mempunyai data, kanak-kanak secara purata sembilan kali lebih berkemungkinan untuk menggunakan vape berbanding orang dewasa.
Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu berkata industri rokok elektronik sedang mempromosikan produk vape sebagai alternatif yang kononnya ‘kurang berbahaya’ daripada rokok biasa, namun hakikatnya mereka secara agresif menyasarkan golongan muda dan menyebabkan ketagihan nikotin dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut anggaran global pertama WHO mengenai penggunaan rokok elektronik, lebih 100 juta orang kini menggunakan vape, termasuk sekurang-kurangnya 86 juta orang dewasa, kebanyakannya di negara berpendapatan tinggi dan sekurang-kurangnya 15 juta kanak-kanak berumur antara 13 hingga 15 tahun.
“Rokok elektronik sedang mencetuskan gelombang baharu ketagihan nikotin,” kata Etienne Krug, Pengarah Jabatan Penentu Kesihatan, Promosi dan Pencegahan WHO dalam satu kenyataan.
“Ia dipasarkan sebagai kaedah pengurangan risiko, namun pada hakikatnya, ia membuatkan kanak-kanak ketagih nikotin pada usia lebih muda dan berpotensi menjejaskan kemajuan yang telah dicapai selama beberapa dekad.”
Secara global, bilangan perokok kini menurun, dengan jumlah pengguna tembakau susut daripada 1.38 bilion pada tahun 2000 kepada 1.2 bilion pada tahun 2024, meskipun populasi dunia terus meningkat.
Namun, satu daripada lima orang dewasa di seluruh dunia masih ketagih tembakau.
Menurut laporan global WHO mengenai trend penggunaan tembakau, terdapat 12 negara yang kini menunjukkan peningkatan dalam penggunaan tembakau.
Secara global, kadar pengurangan merokok berlaku lebih cepat dalam kalangan wanita berbanding lelaki. – AFP


