Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rokok elektronik mungkin mengandungi bahan Tuklaw – PDEA

    MANILA, 30 SEPT – Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) hari ini memberi amaran bahawa sebahagian produk vape di negara itu mungkin mengandungi komponen synthetic cannabinoid yang sebelum ini ditemukan dalam rokok dikenali sebagai Tuklaw.

    Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan, semasa sesi perbahasan belanjawan agensi itu, Ketua PDEA Isagani Nerez berkata ujian makmal di Filipina dan Singapura mengesahkan bahawa rokok Tuklaw mengandungi bahan kimia berbahaya yang telah disenaraikan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

    Beliau berkata bahan kimia berbahaya itu juga termasuk dalam klasifikasi bahan terlarang oleh Lembaga Dadah Berbahaya (DDB).

    “Sejak kami mengeluarkan nasihat, edarannya di sini telah berkurangan.

    “Namun kini, kami dapati cannabinoid, iaitu komponen dalam Tuklaw sudah pun wujud dalam produk vape,” kata Nerez.

    Beliau berkata penyelidikan lanjut sedang dijalankan untuk mengesahkan kaitan itu.

    Nerez memberi jaminan kepada Senat bahawa sebaik disahkan, PDEA akan meminta DDB mengeluarkan resolusi yang berkaitan.

    Pihak berkuasa sebelum ini telah mengeluarkan nasihat melarang penjualan dan penggunaan bahan itu selepas beberapa rampasan dibuat di kawasan pelancongan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda