Oleh Ak Zaki Kasharan –

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Mahkamah Majistret di sini, hari ini telah memerintahkan seorang lelaki warga Indonesia membayar denda $88,500 kerana memiliki sejumlah besar rokok seludup dan menjualnya.
Nandang Permana, 31, perlu menjalani hukuman penjara 19 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Pendakwa kastam mendedahkan di mahkamah bahawa defendan didapati memiliki sebanyak 120 karton dan 11 paket rokok, bersama wang tunai berjumlah $579 di sebuah rumah di Kampung Delima Satu pada 3 Oktober lalu.
Pegawai pencegahan kastam menjalankan pemeriksaan pada pukul 4:10 petang dan siasatan mendapati rokok itu telah diseludup dan wang tunai adalah hasil penjualannya.
Majistret Kanan Harnita Zelda Skinner turut mengarahkan agar kesemua rokok yang dirampas dimusnahkan dan wang tunai dilucuthakkan.


