KLANG, 4 APRIL – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Zon Tengah Unit II (Selangor) berjaya menyekat cubaan menyeludup rokok dan pengilangan haram minuman keras bernilai RM1.152 juta dalam dua serbuan berasingan di Balakong dan Cheras pada 29 Mac dan 1 April lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Zon Tengah Selangor), Norlela Ismail berkata bagi kes penyeludupan rokok, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang diletakkan di tepi jalan di Balakong pada 19 Mac dan menemukan 1,320,000 batang rokok yang disembunyikan di bawah lantai kontena tersebut.
Beliau berkata modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan rokok di celah bukaan lantai kayu kontena dengan bahagian bawah kontena berkenaan ditutupi plywood dan plat besi bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Beliau berkata rokok yang disyaki tidak berkastam bernilai RM987,360 beserta kontena collapsible flatrack container itu kini disita untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – Bernama


