Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rokok seludup, kenderaan bernilai RM6.66j dirampas

    JOHOR BAHRU, 8 OKT – Polis merampas sebanyak 41,800 karton rokok seludup pelbagai jenama dan dua lori yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM6.66 juta termasuk duti rokok sekitar Johor Bahru, petang semalam.

    Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam serbuan pada pukul 3 petang dan 5:40 petang oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (PPM Wilayah Dua) dua lelaki tempatan berusia 45 dan 48 tahun yang merupakan pemandu lori ditahan.

    Mereka masing-masing akan direman selama tiga dan enam hari mulai hari ini, kata Ayob Khan.

    “Kita percaya rokok-rokok seludup ini untuk pasaran dalam dan luar Johor. Ini rampasan terbesar tahun ini,” kata beliau kepada pemberita di Markas PPM Wilayah Dua, di sini, hari ini.

    Turut hadir Komander PPM Wilayah Dua ACP Muhd Zailani Abdullah.

    Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Muhd Zailani Abdullah (dua, kiri) melihat dua buah lori yang dirampas selepas didapati membawa pelbagai jenis rokok tidak bercukai kastam dalam dua serbuan berasingan di kawasan Plaza tol Kempas dan kawasan Bumi Hijau Pandan, kelmarin. – Bernama

    Ketika ditanya mengenai modus operandi, beliau berkata pihaknya percaya bekalan rokok tidak lagi disimpan dalam gudang atau stor bagi mengelakkan daripada dihidu pihak berkuasa.

    Sebaliknya, sindiket yang terlibat dipercayai menyeludup rokok dari negara jiran dan transit di perairan antarabangsa sebelum dipindahkan ke bot-bot kecil dan akan dihantar terus ke lokasi yang dikehendaki menggunakan lori.

    Ayob Khan berkata pihaknya turut mengenal pasti perairan Pantai Timur yang digunakan oleh sindiket berkenaan untuk membawa masuk rokok seludup itu.

    “Fokus kita (selepas ini) bukan sahaja kepada sindiket terlibat tetapi juga premis yang menjual rokok seludup ini.

    Kita akan menggempur (premis-premis) ini mengikut daerah dalam masa terdekat ini,” kata beliau. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda