Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rokok, vape mudarat kesihatan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Agama Islam melarang umatnya daripada melakukan perkara yang boleh memberi kesan yang tidak baik dan mudarat kepada kesihatan.

    Selain itu, Allah SWT juga melarang dengan tegas dan sekeras-keras daripada menghampiri apa-apa yang memudaratkan, malah menyuruh membanteras, apa tah lagi yang menjadi pemusnah kepada jiwa.

    Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh khatib dalam khutbah Jumaat yang bertajuk Larangan Rokok dan Merokok : Menolak Kemudaratan Sejagat dan seterusnya mengongsikan antara amalan buruk yang boleh memudaratkan kesihatan tubuh badan dan nyawa ialah merokok.

    “Ancaman bahaya rokok bukan sahaja terbatas kepada perokok itu sendiri, iaitu perokok aktif, malah ia juga menular kepada orang yang tidak merokok yang terhidu asap rokok atau lebih dikenali sebagai perokok pasif,” tambahnya.

    Khatib dalam khutbah turut mengingatkan, kesihatan dan seluruh anggota tubuh yang dikurniakan adalah nikmat yang tidak ternilai daripada Allah SWT.

    Gambar fail Muiz Matdani

    Selain itu, apa yang membimbangkan adalah penggunaan rokok elektronik atau vape sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat global terutama generasi muda.

    Rokok elektronik, tegasnya, juga tidak kurang bahayanya kerana rokok elektronik atau vape ini juga boleh membahayakan kesihatan yang antaranya ketagihan nikotin yang mana kebanyakan cecair vape mengandungi nikotin, dadah yang boleh menyebabkan ketagihan.

    Selain itu, ia boleh merosakkan paru-paru kerana penggunaan vape boleh menyebabkan kecederaan paru-paru yang serius, malah vape juga memberi risiko kepada jantung di mana nikotin dalam vape boleh meningkatkan tekanan darah seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.

    Selain itu, pendedahan aerosol pasif, aerosol yang dihasilkan oleh vape mendedahkan bahan kimia berbahaya kepada orang sekeliling yang tidak menggunakan vape dan meningkatkan risiko kesihatan mereka.

    Khatib turut menjelaskan, jika merujuk kepada fatwa dan pandangan para ulama, didapati perbuatan merokok adalah haram kerana mempunyai banyak keburukan serta mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.

    Dalam buku Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam tahun 2016 menyebutkan penggunaan vape adalah haram menurut syarak kerana boleh membawa kerosakan dan kemudaratan tubuh badan serta menghancurkan matlamat syarak dalam kehidupan manusia.

    Khatib seterusnya menyeru untuk sama-sama berusaha menjadikan Negara Brunei Darussalam bebas daripada tembakau, asap rokok dan vape.

    “Berikanlah sokongan kepada individu, ahli keluarga, sahabat dan mereka yang inginkan berhenti merokok atau berhenti menggunakan vape,” jelasnya.

    Khatib dalam khutbahnya turut mengongsikan di mana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan menyediakan klinik berhenti merokok di pusat-pusat kesihatan di setiap daerah bagi memberikan khidmat kaunseling kepada mereka yang memerlukan.

    “Marilah kita sama-sama memperbaiki diri untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan keluarga, masyarakat dan juga negara seterusnya menyumbang kepada masa depan yang lebih sihat dan mampan bagi semua,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda