Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rolls-Royce kurangkan 2,500 pekerja

    LONDON, 17 OKT – Pengeluar enjin jet Rolls-Royce berkata hari ini ia akan mengurangkan sehingga 2,500 pekerja di seluruh dunia sebagai sebahagian daripada usaha baik pulih korporat yang sedang dijalankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya.

    Syarikat aeroangkasa itu terkesan teruk oleh pandemik COVID-19 yang menjejaskan permintaan untuk perjalanan udara. Tufan Erginbilgic, yang mengambil alih jawatan Ketua Eksekutif pada Januari, berkata pemberhentian itu bertujuan menjadikan Rolls-Royce ‘lebih lancar dan cekap.’

    Rolls-Royce, yang berpangkalan di Derby, tengah England, tidak mendedahkan di mana pekerjaan akan dihentikan, tetapi kira-kira separuh daripada 42,000 tenaga kerjanya berpangkalan di United Kingdom.

    Pemberhentian itu akan menghapuskan pertindihan dan membawa kecekapan kos dalam peringkat terkini ‘transformasi berbilang tahun,’ kata syarikat itu.

    “Kami sedang membina Rolls-Royce yang sesuai untuk masa depan,” kata Erginbilgic.

    Syarikat itu mengurangkan 9,000 pekerjaan di seluruh dunia pada 2020 ketika ia bergelut dengan kemerosotan perjalanan udara semasa wabak itu.

    Pelan pemulihan baharu juga termasuk penubuhan bahagian perolehan syarikat baharu yang boleh memanfaatkan saiz Rolls-Royce bertujuan mengurangkan kos dan mengurangkan kelewatan rantaian bekalan. – AP

    Seorang pelawat mengambil gambar enjin jet Rolls-Royce Airbus A350-1000 yang diletak di kawasan pameran semasa Pameran Udara Singapura. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda