LONDON, 1 OKT – Syarikat Rolls-Royce di Britain, berdepan kemelesetan permintaan apabila pandemik koronavirus mencetuskan krisis perjalanan udara, melancarkan rancangan hari ini untuk merangsang kewangannya sebanyak 5 bilion pound.
Syarikat itu, yang mengeluarkan pesawat udara Airbus dan Boeing, akan memperkukuhkan kunci kira-kiranya untuk membantu mengatasi kesan sampingan berpunca daripada krisis kesihatan global berterusan yang telah menghentikan operasi penerbangannya di seluruh dunia.
Rolls-Royce berkata dalam satu kenyataan bahawa pakej itu terdiri daripada penerbitan saham bernilai 2 bilion pound, tawaran bon berjumlah sekurang-kurangnya 1 bilion pound, kemudahan pinjaman baharu bernilai 1 bilion pound serta sokongan kerajaan dari Kewangan Eksport UK untuk pelanjutan jaminan pinjaman sehingga 1 bilion pound.
“Langkah berkenaan akan menyediakan kumpulan dengan kemampanan kewangan dan struktur kunci kira-kira yang lebih sesuai demi mengatasi risiko ekonomi makro sebelum kami kembali mencatat penghasilan wang tunai yang dijangkakan pada 2022,” kata Rolls.
“Prospek jangka panjang tetap kukuh,” tambahnya.
Syarikat juga mendedahkan pelan terkini untuk mengurangkan 9,800 pekerjaan pada akhir tahun ini, meningkat daripada 9,000 yang diumumkan pada Mei.
Pengumuman hari ini keluar sebulan selepas Rolls-Royce, yang beroperasi dalam sektor penerbangan, pertahanan dan tenaga, mencatat kerugian bersih berjumlah 5.4 bilion pound untuk separuh tahun pertama 2020 apabila wabak virus bertambah buruk. – AFP
