Tuesday, March 18, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Roma mara ke suku akhir Piala Itali

    MILAN, 13 JAN – Paulo Dybala membawa Roma ke perlawanan suku akhir Piala Itali dan berpotensi untuk berhadapan dengan pendahulu Serie A, Napoli, setelah menang 1-0 ke atas Genoa, Khamis lalu.

    Pemain gantian, Dybala menjaringkan gol pada minit ke-64 di Stadio Olimpico, yang penuh sesak di Rom setelah melepasi pertahanan Genoa dan menerjah masuk dari sudut gawang.

    Golnya itu bermakna Roma berkemungkinan akan menentang Napoli dalam peringkat lapan kumpulan terakhir pada bulan depan, dengan kedua-dua kumpulan penyokong akan dilarang daripada perlawanan di tempat lawan selepas insiden pergaduhan di lebuh raya pada hujung minggu lalu.

    Media Itali melaporkan bahawa penyokong Roma dan Napoli dihalang daripada melakukan perjalanan selama sebulan kerana pertembungan serius antara penyokong fanatik kedua-dua pasukan di lebuh raya A1 pada petang Ahad lalu di stesen perhentian Badia al Pino di Tuscany.

    Napoli mengecam penyokong fanatik tersebut yang telah mencetuskan pergaduhan sehingga mengakibatkan lebuh raya terkandas selama 50 minit, menyebabkan kesesakan lalulintas sepanjang 15 kilometer.

    Perlawanan antara Roma dan Napoli, yang sudah sengit kerana mempunyai penyokong yang terbesar dan paling fanatik di Itali, menjadi lebih berbisa setelah terjadinya insiden pembunuhan peminat Napoli oleh penyokong Roma sebelum perlawanan akhir Piala Itali 2014.

    Peminat Roma akan dihalang daripada pergi ke Naples untuk perlawanan liga pasukan mereka di Stadio Maradona pada akhir bulan ini.

    Napoli akan mara ke suku akhir jika menewaskan pasukan tercorot Serie A, Cremonese pada Selasa.

    Terdahulu pada Khamis, Fiorentina, berjaya mengalahkan Sampdoria 1-0, menetapkan pertembungan peringkat lapan kumpulan terakhir dengan AC Milan, yang menang pada Selasa menentang Torino. – AFP

    Gambar bertarikh 8 Januari 2023, penyerang AS Roma dari Britain, Tammy Abraham (kanan) meraikan jaringan golnya dengan rakan sepasukan di stadium San Siro di Milan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda