ROM, 29 OGOS – Chelsea bersetuju untuk meminjamkan penyerang antarabangsa Belgium, Romelu Lukaku kepada kelab Serie, AS Roma.
Menurut laporan media Itali, Roma akan membayar kelab London itu sebanyak 5.8 juta euro dan pemain itu akan menerima gaji tahunan sebanyak 7.5 juta euro. Lukaku dijangka tiba di Rom pada hari ini untuk menjalani pemeriksaan perubatan.
Di Roma, Lukaku akan bergandingan semula dengan Jose Mourinho yang pernah melatih penyerang itu di Chelsea dan Manchester United.
Lukaku kembali ke Chelsea pada 2021 dengan harga 115 juta euro dari Inter Milan. Dia mula menyertai Chelsea pada 2011 dan berpindah ke Everton pada 2014 sebelum menyertai Manchester United dan Inter Milan.
Lukaku, 30, kembali ke Inter musim lalu sebagai pemain pinjaman dan meledak 14 gol.
Roma sudah menandatangani pemain Iran, Sardar Azmoun sebagai pemain pinjaman dari Bayer Leverkusen dan gandingan tengah Paris Saint-Germain, Leandro Paredes serta Renato Sanches (secara pinjaman).
Houssem Aouar menandatangani kontrak lima tahun bersama Roma selepas berpindah dari Lyon pada Jun.
Roma mengumpul satu mata selepas dua perlawanan pertama Serie A pada musim ini. – AFP
