Saturday, February 8, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Romania catat lonjakan jangkitan pernafasan, kes influenza

    BUCHAREST, 7 FEB – Romania merekodkan jumlah jangkitan pernafasan dan kes influenza yang tinggi, melebihi 170,000 kes di seluruh negara antara 27 Januari dan 2 Februari, kata Menteri Kesihatan, Alexandru Rafila kelmarin, menurut Xinhua.

    Bercakap pada sidang media, Rafila memaklumkan lebih 12,500 kes influenza telah didiagnosis secara klinikal, sekali gus mendorong mobilisasi sumber kesihatan.

    Bagi menangani lonjakan kes, pihak berkuasa telah meletakkan 300 pusat perubatan untuk diagnosis dan rawatan pesakit luar, manakala kes yang lebih serius akan dirujuk ke hospital.

    Menteri itu menggesa orang ramai mengambil langkah pencegahan, termasuk mengelakkan kawasan sesak dan memakai pelitup muka sekiranya bergejala.

    Beliau turut menekankan kepentingan vaksinasi influenza, dengan 1.7 juta dos telah diedarkan melalui farmasi, sambil menyatakan kadar vaksinasi yang lebih tinggi diperlukan bagi membendung penularan.

    Meskipun peningkatan kes jangkitan, Rafila menolak kemungkinan penutupan sekolah, sebaliknya menggalakkan pemantauan ketat serta pengasingan pelajar yang bergejala.

    Beliau mengakui bahawa penutupan kelas mungkin berlaku dalam kes tertentu, namun menegaskan bahawa penutupan sekolah secara menyeluruh tidak seharusnya menjadi langkah utama.

    Setakat 2 Februari, Romania telah mencatat 35 kematian berkaitan influenza, termasuk 13 kematian baharu dalam tempoh pelaporan terkini. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda