Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Seramai 28 ahli rombongan Muhibbah Ukhuwah Islamiah dari Aceh Darussalam hari ini telah mengadakan lawatan ke Pusat Sejarah Brunei, di ibu negara.
Rombongan berada di negara ini bagi lawatan muhibah tiga hari untuk memperkukuhkan ukhuwah dengan Badan Silaturahmi Brunei Darussalam yang diketuai oleh Pengiran Haji Abbas bin Pengiran Haji Besar.
Menurut Pengiran Haji Abbas, Badan Silaturahmi Brunei Darussalam akan sentiasa memberikan layanan terbaik bagi rombongan tersebut seperti mengaturkan beberapa lawatan sejarah dan kebudayaan di samping turut mengaturkan beberapa lawatan ke tempat-tempat yang menarik di Negara Brunei Darussalam seperti Taman Mahkota Jubli Emas, Kampong Ayer dan sebagainya.

Sementara itu, Haji Achmad Namploh yang merupakan ketua rombongan lawatan dari Aceh Darussalam ketika ditemui wartawan Media Permata turut menyatakan keterujaan beliau berserta rombongannya apabila disambut dan dilayan dengan baik oleh pihak tuan rumah setiba mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei lagi.
Beliau turut mengatakan bahawa Negara Brunei Darussalam merupakan tempat ketiga yang mereka rasakan istimewa untuk dikunjungi selepas dua buah kota suci Mekah dan Madinah, oleh itu tidak hairanlah kesemua ahli rombongan lawatan berkenaan berasa teruja kerana berpeluang melakukan kunjungan muhibahnya ke negara ini.
Antara galeri yang sempat dikunjungi semasa lawatan ke Pusat Sejarah Brunei tersebut ialah Galeri Koleksi Manuskrip Borneo Perjanjian Brunei-British, Galeri Sejarah Brunei Tua, Galeri Era Kegemilangan Brunei dan Galeri Salasilah.