Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Rombongan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) menyambung program lawatan kerja ke tapak-tapak perusahaan pertanian dan perikanan di bawah kawalan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) hari ini dengan tumpuan lawatan adalah untuk mengetahui dengan lebih dekat mengenai kemajuan peladang dan pengusaha pertanian khususnya di Mukim Gadong A dan Pengkalan Batu di Daerah Brunei dan Muara serta Mukim Keriam di Daerah Tutong yang dimajukan secara komersial oleh pengusaha-pengusaha berkenaan dalam membantu usaha-usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan Perikanan, KSSUP, seramai 11 orang ahli MMN menyertai program lawatan berkenaan iaitu Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Abdul Hamid bin Bakal, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin, Yang Berhormat Haji Mohaimin bin Haji Johari @Jahari, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Awang Mohammad Siput dan Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong.
Turut hadir dalam rombongan tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong, Setiausaha Tetap KSSUP, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan Perikanan.
Menurut kenyataan itu, lawatan ahli-ahli MMN bermula di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Tungku iaitu kawasan yang ditawarkan bagi projek pelaburan langsung asing, Request for Proposal (RFP) dan projek rintis dengan mengetengahkan teknologi tinggi dalam perladangan.
Lawatan dimulakan di rumah hijau berteknologi tinggi yang diusahakan oleh Syarikat K.N Nursery (B) Sdn Bhd bagi pengeluaran bunga orkid, tanaman hiasan, sayur-sayuran dan tanaman herba bernilai tinggi.

Ladang seluas 1.112 hektar itu mula diusahakan pada tahun 2013 dan dua tahun kemudian iaitu pada 2015, syarikat tersebut telah menghasilkan kira-kira 17,989 pohon tanaman hiasan.
Bagi tahun2017, Syarikat K.N Nursery menyasarkan pengeluaran 120,000 pohon tanaman orkid dan 240,000 pohon tanaman orkid menjelang 2020.
Lawatan diteruskan ke Syarikat Sinar Tenaga Sdn Bhd yang baru mengusahakan kawasan ladang di Site A1 seluas 5 hektar dan Site B seluas 40 hektar di KKP Tungku sebagai projek rintis.
Syarikat tersebut baru sahaja memajukan tapak-tapak berkenaan pada awal 2017 dengan aktiviti pertanian berteknologi tinggi dan mesra alam bagi menghasilkan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang bernilai tinggi seperti peria putih, tomato, Golden Fruit (Abi’u) dan Rock Melon. Sebagai projek rintis, sebahagian tanaman baharu sahaja menunjukkan hasilnya pada masa ini.
Mereka juga berhasrat untuk menggunakan teknologi penanaman seperti LED dan Sistem Kawalan Persekitaran (Control Environment Atmosphere) nanti.
Seterusnya rombongan ahli-ahli MMN dibawa melawat ke tapak semaian padi secara moden yang diusahakan oleh Syarikat Chantika Sdn Bhd di Kawasan Kemajuan Pertanian Limpaki.
Syarikat tersebut mula membekalkan semaian padi pada tahun 2009 untuk mendokong sistem tanaman padi secara mekanikal, iaitu dengan menggunakan jentera penanaman atau pun jentanam (transplanter) di kawasan-kawasan penanaman padi yang mempunyai sistem pengairan (irrigation system) terutama sekali di sekitar kawasan Mukim Pengkalan Batu.
Dengan adanya semaian padi dalam bentuk tray berkenaan, penanaman padi akan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, efisien serta tidak memerlukan tenaga buruh yang banyak berbanding dengan cara manual atau tradisional. Syarikat berkenaan berupaya untuk membekalkan sehingga 70,000 tray semaian padi setiap musim penanaman.
Ahli-ahli MMN juga dibawa melawat ke Pusat Pemprosesan Padi dan Beras di Kawasan Kemajuan Pertanian Wasan. Pusat tersebut mempunyai mesin pengisar padi berteknologi tinggi dengan kapasiti mengisar padi sebanyak 3.5 tan metrik/jam dan berpotensi untuk mengeluarkan sebanyak 5,800 tan metrik beras setahun.
Pada 2016, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah menghasilkan sebanyak 1,237 tan metrik beras sementara pengeluaran beras yang telah dihasilkan pada bulan Januari hingga Julai 2017 adalah sebanyak 487 tan metrik.
Rombongan seterusnya dibawa meninjau perkembangan tanaman padi di Kawasan Kemajuan Pertanian Wasan dan sekitarnya. Terdapat kira-kira 265 hektar kawasan penanaman padi yang terdapat di Kawasan Kemajuan Pertanian Wasan dan sekitarnya.
Penanaman varieti padi hasil tinggi (high yielding variety) iaitu Padi Laila mula dikenalkan kepada peladang sejak 2009, yang mana telah membolehkan peladang-peladang di Kawasan Kemajuan Pertanian Wasan untuk melaksanakan penanaman padi dua kali setahun menggunakan sistem bermekanisasi.
Untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi dengan kemajuan industri ternakan berteknologi tinggi di negara ini, rombongan ahli-ahli MMN telah dibawa melawat ke Syarikat Maya Breeder Farm, di Kawasan Kemajuan Pertanian Sungai Tajau.
Syarikat berkenaan telah bergiat mengusahakan ternakan ayam daging sejak tahun 1998. Dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti ladang yang lebih tinggi lagi, syarikat berkenaan telah beralih daripada sistem pemeliharaan secara konvensional kepada sistem pemeliharaan yang berteknologi tinggi dengan menggunakan reban tertutup dan bertingkat pada 2008.
Sehingga Mei lalu, syarikat berkenaan telah dapat mengeluarkan 390,140 ekor ayam daging. Sasaran bagi 2017 adalah sejumlah 1,765,575 ekor dan kira-kira 4,074,075 ekor menjelang tahun 2020. Dengan suhu reban yang terkawal dan pengawalan penyakit yang lebih baik, sistem pemeliharaan tersebut akan dapat menjamin penghasilan daging-daging ayam yang berkualiti di negara ini.
Rombongan ahli-ahli MMN seterusnya dibawa meninjau kemajuan ladang-ladang pertanian di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Sinaut, Daerah Tutong.
Lawatan ditumpukan kepada Syarikat Eco Nadi Agrobiz yang telah ditawarkan sebuah kawasan seluas 4.40 hektar bagi mengendalikan projek rintis menghasilkan tanaman sayur-sayuran secara komersial. Syarikat ini telah mengusahakan tanaman cili secara sistem fertigasi sejak bulan November 2016.
Sehingga bulan Mei 2017, syarikat ini telah berjaya mengeluarkan hasil tuaian cili merah sebanyak kira-kira 2.295 tan metrik dan hasil tuaian cili padi sebanyak 0.167 tan metrik. Sasaran syarikat berkenaan bagi pengeluaran hasil tanaman cili adalah sekitar 18 tan metrik pada tahun 2017 dan kira-kira 54 tan metrik menjelang tahun 2020.
Penghasilan tanaman sayur-sayuran menggunakan teknologi tinggi akan dapat meningkatkan keluaran hasil pertanian ke arah mempelbagaikan ekonomi negara dan seterusnya potensi bagi pasaran eksport.
Lawatan diteruskan lagi ke tapak industri ternakan udang di kawasan Sungai Penyatang, Daerah Tutong, yang diusahakan oleh Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd.
Program lawatan kerja rombongan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara akan disambung lagi pada 2 Ogos ke tapak-tapak perusahaan pertanian dan perikanan di Daerah Belait.