Friday, February 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rombongan bakal jemaah haji lawat sekeliling kota Madinah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    ARAB SAUDI, 4 JUN – Rombongan bakal jemaah haji yang mengikuti pakej Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) tidak ketinggalan meneruskan aktiviti harian mereka dengan mengadakan lawatan ke sekeliling kota Madinah al-Munawwarah, baru-baru ini.

    Sesi lawatan berkenaan termasuklah menziarahi Masjid Quba, kebun kurma, Jabal Uhud, Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh. Ia merupakan tempat-tempat bersejarah awal keagungan Islam pada zaman Rasulullah SAW.

    Sejarah mula terbinanya Masjid Quba adalah ketika Rasulullah SAW tiba di Quba di permukiman Qabillah Amar bin Auf, di mana Baginda Rasulullah tinggal di rumah Kulsum bin Alhadm.

    Selama berada di Quba, Baginda Rasulullah membina Masjid Quba sehingga hari Jumaat, sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah.

    Walaupun Rasulullah SAW sudah meninggalkan Quba dan menetap di Madinah, Baginda sentiasa ke Masjid Quba pada setiap Sabtu dengan berjalan kaki atau menaiki unta bernama Al-Qaswa. Kelebihan solat sunat di Masjid Quba menyamai ganjaran pahala mengerjakan umrah.

    Sebelum meneruskan lawatan ke Jabal Uhud, rombongan bakal jemaah haji dibawa ke kebun kurma, di mana mereka berkesempatan melihat secara dekat pokok kurma di samping berpeluang membeli-belah sebagai buah tangan apabila balik ke tanah air nanti.

    Di akhir lawatan, rombongan dibawa melintasi Masjid Qiblatain atau dikenali dengan Masjid Dua Qiblat di mana berlakunya sejarah pertukaran kiblat pertama Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram Mekah iaitu pada bulan Syaaban tahun kedua setelah Rasulullah SAW menetap di Madinah, ketika turunnya ayat 144 Surah Al-Baqarah.

    Sebelum bertolak balik semula ke hotel penginapan, rombongan dibawa melintasi Masjid Tujuh iaitu tempat terjadinya Perang Khandaq yang juga dikenali sebagai Pertempuran Al-Ahzab pada bulan Syawal tahun 5 Hijrah bersamaan dengan 627 Masihi.

    Rombongan bakal jemaah haji pakej DSSB melawat salah sebuah tempat bersejarah di Madinah al-Munawwarah. – GAMBAR SERAHAN DSSB
    Rombongan bakal jemaah haji pakej DSSB bergambar ramai semasa mengadakan lawatan ke sekeliling kota Madinah al-Munawwarah, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN DSSB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda