Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Rombongan yang menyertai Miss SHOPhia Ramadan Spree with Gzul Campaign, promosi perjalanan tiga hari dua malam ke Kota Kinabalu, Sabah, anjuran bersama Tourism Malaysia Brunei dan Straits Central Agencies (SCA), telah berlepas hari ini.
Satu majlis perasmian ringkas telah diadakan di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah untuk merasmikan bendera dan mengagihkan beg hadiah kepada para peserta.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan SCA, Haji Musa bin Haji Adinin; Pentadbir SCA, Hajah Saudah binti Hashim dan Pengarah Tourism Malaysia Brunei, Hazrina Azman.
Semasa di Kota Kinabalu, rombongan akan pergi membeli-belah bersama blogger Brunei iaitu Gzul Yussof di tempat membeli-belah yang popular di bandar berkenaan.
Mereka juga akan berpeluang berbuka puasa di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah bersama artis Malaysia, Harris Baba yang juga penganjur Borneo Mega Raya Fest.



