MADINAH AL-MUNAWWARAH, ARAB SAUDI, 22 MEI – Rombongan jemaah haji pakej Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) meneruskan aktiviti harian dengan dibawa menziarahi keliling kota Madinah Al-Munawarrah.
Atur cara lawatan termasuklah menziarahi ke Masjid Quba, kebun kurma, Jabal Uhud, Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh. Ia merupakan tempat-tempat bersejarah awal keagungan Islam zaman Rasullullah SAW.
Para jemaah terlebih dahulu melawat Masjid Quba dan antara kelebihan solat sunat di masjid tersebut ialah ia menyamai ganjaran pahala mengerjakan umrah.
Sebelum meneruskan lawatan ke Jabal Uhud, para jemaah dibawa ke kebun kurma, di mana para jemaah berkesempatan melihat secara dekat pokok kurma di samping berpeluang membeli-belah sebagai buah tangan balik nanti.
Jabal Uhud atau Bukit Uhud merupakan antara tempat bersejarah di zaman keagungan Islam iaitu tempat berlakunya Perang Uhud pada tahun 3 Hijrah. Sebahagian para jemaah tidak melepaskan peluang menaiki bukit memanah di mana ditempatkan pasukan pemanah tentera Islam pada ketika itu.
Rombongan juga dibawa menziarahi kubur para syuhada Uhud di mana juga dimakamkan Sayidina Hamzah bin Abdul Muttalib, bapa saudara kepada Nabi Muhammad SAW yang syahid dalam Perang Uhud.
Diakhir lawatan, rombongan dibawa melintasi Masjid Qiblatain atau dikenali dengan Masjid Dua Kiblat. Di sinilah berlakunya sejarah pertukaran kiblat pertama Masjidil Aqsa ke Masjidilharam di Mekah.
Sebelum bertolak balik semula ke hotel penginapan, rombongan dibawa melintasi Masjid Tujuh iaitu tempat terjadinya Perang Khandaq yang juga dikenali sebagai Pertempuran Al-Ahzab.