Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Dalam usaha untuk mengenali lebih dekat kehidupan dan aktiviti perekonomian masyarakat Kampung Ayer, rombongan dari Japan Councli of Local Authority For International Relations (J.CLAIR) telah menyertai Program Berdudun ke Kampung Sungai Bunga yang berlangsung di Pusat Aktiviti Pelancongan Seri Tanjung, MPK Sungai Bunga, kelmarin.
Program lawatan itu, bermatlamat untuk meninjau dengan lebih dekat perkhidmatan pelancongan berasaskan komuniti yang dikendalikan oleh MPK Sungai Bunga sebagai produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P), bertukar-tukar pandangan dan buah fikiran untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pelancongan sedia ada serta menyaksikan pemprosesan produk 1K1P keluaran MPK Sungai Bunga.
Semasa program berkenaan, rombongan berkenaan diberikan taklimat serta berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi pemprosesan dan pembuatan 3 jenis produk iaitu keropok udang, kuih sapit dan kuih putu mayang.
Majlis Perundingan Kampung Sungai Bunga merupakan antara kampung yang aktif mengendalikan program perekonomian dalam bidang perkhidmatan iaitu perkhidmatan pelancongan berasaskan komuniti.
Program yang dilaksanakan itu, mendapatkan perhatian daripada agensi luar negara di mana melalui Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah membuat pendekatan melalui lawatan untuk melihat dengan lebih dekat program serta pakej yang disediakan.




