Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain
TEMBURONG, 1 Mac – Rombongan jemaah Masjid Hassanal Bolkiah dari Daerah Tutong terdiri daripada 63 ahli hari ini mengadakan kunjungan muhibah ke masjid-masjid di Daerah Temburong.
Lawatan bermula di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar yang dialu-alukan oleh Muslimah masjid dan ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid tersebut.
Semasa lawatan tersebut, rombongan mendengar taklimat disampaikan oleh pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong dan wakil Muslimah masjid tersebut mengenai sejarah dan latar belakang serta fungsi dan peranan Muslimah.


Selain mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada, lawatan ini juga antara lain bertujuan untuk melihat secara lebih dekat antara usaha yang telah dilakukan oleh ahli-ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di daerah ini dalam menjalankan dan mengusahakan projek 1 Kampung 1 Produk (1K1P).
Rombongan kemudian dibawa melawat ke beberapa tempat seperti Rumah Penginapan Lukut Intan di Kampung Sungai Tanit, Masjid Kampung Batu Apoi dan Masjid Kampung Puni.