Oleh Daniel Lim
BELAIT, 30 MAC – Rombongan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah meneruskan lagi majlis bertadarus ke Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, hari ini.
Mengetuai rombongan berkenaan ialah Timbalan Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-undang), Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu.
Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta pegawai dan kakitangan JPM.
Majlis telah dimulakan dengan penyerahan wakaf berupa alat pencuci jet air kepada masjid berkenaan yang disempurnakan oleh Dato Seri Paduka Haji Sufian dan diterima oleh imam masjid berkenaan, Awang Mohd Hilmi bin Yakop.
Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum bacaan tadarus Al-Quran, Tahlil dan Doa Selamat.
Bermula pada 28 Mac lalu di Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam, Daerah Tutong, majlis bertadarus berkenaan akan diteruskan ke seluruh negara dengan persinggahan seterusnya ialah Masjid Utama Mohammad Salleh, Daerah Temburong pada 3 April.
Majlis bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan di masjid-masjid, surau, dan balai ibadat di seluruh negara, sambil mengeratkan hubungan dengan masyarakat.