Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rombongan Kem. Pembangunan bertadarus di Masjid Kg Mentiri

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini, Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran di Masjid Kampung Mentiri, Jalan Kota Batu, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan penyampaian wakaf berupa satu pembersih hampagas, satu unit pengesan suhu badan, satu pencetak A3, 30 rehal Al-Quran dan 30 helai sejadah sandar kepada Ketua Imam Masjid Kampung Mentiri, Haji Sanip bin Haji Nasar.

    Sementara itu, Majlis Tadarus Al-Quran diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara bergilir-gilir yang dimulakan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan diikuti oleh setiausaha tetap dan ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Pembangunan. Majlis disusuli dengan bacaan tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Haji Sanip.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir Haji Mohd Salleh bin Haji Abdul Karim, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Majlis yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Pentadbiran dan Kewangan; dan Jabatan Kemajuan, Jabatan Kerja Raya itu adalah antara aktiviti keagamaan Kementerian Pembangunan yang telah pun disusun sepanjang bulan Ramadan ini.

    Yang Berhormat Menteri Pembangunan memulakan bacaan Surah Al-Fatihah pada majlis itu.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi semasa menyerahkan wakaf kepada Haji Sanip pada majlis tadarus di Masjid Kampung Mentiri, Jalan Kota Batu kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda