Monday, October 7, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rombongan Kem Pendidikan sertai konvensyen prasekolah Sarawak

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh telah menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Antarabangsa Prasekolah Sarawak 2024 yang diadakan The Waterfront Hotel, Kuching, Sarawak pada 5 Oktober lepas.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, majlis berkenaan yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Sarawak, Yang Berhormat Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, menghimpunkan wakil-wakil dari Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Republik Indonesia, dan Republik Singapura.

    Konvensyen yang bertemakan Inklusiviti dan Kepelbagaian dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak itu memberi tumpuan kepada tiga objektif utama iaitu  meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pendidik untuk menangani cabaran dalam penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak; menyediakan platform bagi pendidik, penjaga dan ibu bapa untuk berinteraksi dan bekerjasama dan mewujudkan peluang untuk berkongsi pengalaman dan amalan-amalan terbaik dalam memupuk budaya pembelajaran dan penambahbaikan yang berterusan dalam bidang tersebut.

    Seramai 305 peserta telah hadir secara bersemuka, manakala 620 peserta lain telah menyertai secara dalam talian. Lima orang guru prasekolah Negara Brunei Darussalam telah menyertai konvensyen berkenaan secara bersemuka.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan rombongan turut berkesempatan untuk mengadakan lawatan ke Pusat Intervensi Awal Setempat (OSEIC) di mana ia menyediakan intervensi awal bagi keperluan perkembangan, kesihatan dan sokongan anak damit dan kanak-kanak yang didiagnosis dengan Autisme, Sindrom Down atau masalah pembelajaran lain, sebelum menyertai prasekolah.

    Semasa lawatan, pusat berkenaan telah mengongsikan mengenai Program Intervensi Awal (Early Intervention Program, EIP), yang merangkumi perkhidmatan sokongan pendidikan dan terapi bagi membantu melengkapkan kanak-kanak dengan kemahiran dan perkembangan asas utama dalam usaha untuk mencapai potensi mereka.

    Turut mengiringi Yang Berhormat Menteri Pendidikan ke acara berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Yang Mulia Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dan pegawai-pegawai daripada Kementerian Pendidikan.

    Gambar ramai Yang Berhormat Datin Seri Dr Hajah Romaizah,  Yang Berhormat Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Yang Mulia Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati serta pegawai-pegawai. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda