Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rombongan Kementerian Pendidikan hadiri Dialog Dasar di Malaysia

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad, telah menghadiri Dialog Dasar EU-ASEAN ke-3 yang membawa tema, Memperkasa Pembangunan Bakat dan Kemahiran melalui Pengantarabangsaan, yang telah diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 14 dan 15 Oktober.
     
    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, turut mengiringi Dr Haji Azman ialah pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan.
     
    Dialog Dasar itu dianjurkan oleh EU-ASEAN Sustainable Connectivity Package – Higher Education Programme (SCOPE-HE) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (MoHE), Malaysia, The Dutch Organisation for Internationalisation in Education (Nuffic) dan The German Academic Exchange Service (DAAD).
     
    Sepanjang tempoh dua hari dialog dasar berkenaan, wakil-wakil kanan dari pihak kementerian, universiti, institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta sektor swasta telah bermuzakarah dalam usaha bersama untuk memperkukuh kerjasama antara komuniti pengajian tinggi ASEAN dan Kesatuan Eropah. 
     
    Melalui sesi perbincangan panel yang dinamik, sesi interaktif dan aktiviti jaringan profesional, para peserta telah bertukar pandangan mengenai cabaran-cabaran dasar serta berpeluang meneroka pendekatan inovatif untuk memperkukuh kesalinghubungan yang mampan dalam pengajian tinggi, TVET dan penyelidikan.
     
    Sorotan utama dialog merangkumi perbincangan mengenai memperkukuhkan pembangunan bakat dengan mempertingkatkan kepimpinan dan bakat di peringkat pengajian tinggi melalui mobiliti dan penglibatan pelajar, membangunkan TVET sebagai laluan pendidikan yang mampan dengan mempromosikan TVET sebagai pilihan pendidikan yang relevan-industri dan berwibawa serta memupuk kerjasama antarabangsa dan perkongsian strategik yang mampan dengan memperkukuh hubungan merentasi rantau melalui pertukaran mampan dan penyelarasan akademik yang berterusan.
     
    Kemuncak dialog ialah Kuala Lumpur Policy Brief 2025, iaitu siri ketiga selepas Vientiane Policy Brief 2024 dan Brussels Policy Brief 2025.
     
    Susulan dialog berkenaan, Dr Haji Azman turut berkesempatan mengadakan beberapa siri pertemuan dan lawatan kerja ke beberapa buah agensi dan institusi utama, termasuk Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, German-Malaysia Institute (GMI) dan Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC) dan German- Malaysia Institute (GMI).
     
    Lawatan-lawatan berkenaan bukan sahaja memberikan pandangan yang berharga mengenai amalan-amalan dan inisiatif-inisiatif serantau yang boleh memberi manfaat kepada landskap pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam, tetapi juga boleh meningkatkan potensi kerjasama dan perkongsian dengan agensi dan institusi berkenaan.
     
    Dr Haji Azman bergambar ramai semasa menghadiri dialog berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda