Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Rombongan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) semalam berlepas meninggalkan Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah akan bermula esok hingga 11 Januari di Jeddah Superdome, Arab Saudi.
Rombongan yang diketuai oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan juga akan menghadiri Majlis Penandatanganan Perjanjian Persefahaman Pengurusan Haji bagi Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Tahun 1445/2024.
Ikut serta dalam rombongan itu ialah Pengarah Urusan Haji, Haji Abdullah bin Haji Mohamad; Pegawai Pelajaran Ugama, Jabatan Urusan Haji, Haji Mohd Hisham bin Haji Maidin; dan Pegawai Hal Ehwal Masjid di KHEU, Awang Mohammad Masdi bin Rosli.
Penyertaan negara dalam Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah dan seterusnya Majlis Penandatanganan Perjanjian Persefahaman Pengurusan Haji bagi Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Tahun 1445/2024 itu dihasratkan mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama yang telah sedia terjalin antara kedua-dua buah negara.
Penandatanganan tersebut adalah hasil daripada Mesyuarat Pengurusan Hal Ehwal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1445/2024 yang telah diadakan secara dalam talian pada 18 Oktober 2023.