BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Rombongan seramai 22 pelajar dari Kolej Cosmopolitan, baru-baru ini, telah mengadakan lawatan ke kemudahan-kemudahan CAE Brunei MPTC.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, lawatan berkenaan merupakan salah satu set aktiviti-aktiviti sebuah kelab di bawah Pembangunan Pekerjaan Cosmopolitan (CED) yang bermatlamat untuk menyediakan pelajar perspektif praktikal mengenai dunia pekerjaan.
Dalam lawatan itu, para pelajar telah mendengar taklimat mengenai latar belakang CAE yang disampaikan oleh salah seorang pengajar simulator penerbangan kanan di kemudahan tersebut, Pengiran Redziman bin Pengiran Haji Ahmad.
Kemudian, para pelajar dibawa meninjau dan menyaksikan amalan-amalan kerja semasa. Mereka juga berpeluang melihat alat latihan penerbangan (FTD) PC-7 yang menyediakan simulator penerbangan yang selamat dan kos efektif.
Para pelajar mendapat pengalaman penerbangan masa sebenar dengan pengimejan masa sebenar seumpama mereka menerbangkan helikopter sebenar.

