Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Rombongan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini, telah membuat lawatan khas ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).
Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Pengarah BKISHHB, Dr Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad serta pegawai dan kakitangan jabatan tersebut.
Antara objektif utama lawatan istimewa tersebut adalah untuk memperkenalkan balai khazanah berkenaan dan meluaskan lagi rangkaian hubungan dengan ahli-ahli MMN.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli MMN mengenai fungsi dan peranan BKISHHB, sekali gus mempromosikan balai berkenaan sebagai sebuah institusi yang menyimpan khazanah warisan Islam yang unik dan berharga koleksi milik peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Terdahulu itu, ahli-ahli MMN memulakan lawatan dengan sesi taklimat pengenalan yang disampaikan oleh Dr Haji Awang Mohammed Hussain.
Seterusnya, rombongan dibawa ke galeri pameran yang menempat koleksi-koleksi yang unik dan menarik antaranya koleksi mushaf-mushaf dan manuskrip-manuskrip Islam yang terbesar di negara ini, peralatan astronomi, tongkat, tasbih dan banyak lagi.
Dalam lawatan tersebut, ahli-ahli MMN juga berpeluang untuk berkunjung ke Galeri Rambut Mulia Rasulullah SAW, yang mana pada masa ini dibuka untuk kunjungan orang awam dari 1 hingga 10 April sempena 10 hari terakhir Ramadan.
Rombongan kemudian meneruskan lawatan ke fasiliti-fasiliti yang terdapat di balai tersebut seperti makmal konservasi, ruang penyelidikan, auditorium, bilik persidangan, bilik-bilik mesyuarat, bilik-bilik kuliah dan rombongan juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat lagi seni arkitek dan reka bentuk dalaman bangunan yang direka bentuk oleh pereka bentuk yang terkenal iaitu Arkitek Pei.



