Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rombongan MPC, UBDSBE berlepas ke Guangxi

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Dalam usaha memperkukuhkan dan memajukan pendidikan perkongsian industri-akademik, rombongan Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC) dan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam (UBDSBE), kelmarin telah berlepas ke Guangxi, China bagi mengadakan lawatan penyelidikan selama lima hari yang bermula pada 9 sehingga 13 Oktober.

    Lawatan ini menandakan satu peristiwa penting dalam kerjasama berterusan yang mana ia direka untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan, memupuk hubungan industri dan memberikan pelajar pengalaman dunia sebenar yang tidak ternilai.

    Rombongan tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPC, Wei Jinfeng, bersama lapan orang pelajar pascasiswazah daripada program MBA UBDSBE.

    Pasukan akademik diketuai oleh Timbalan Dekan, Dr Wardah Azimah Sumardi bagi Akademik dan Hal Ehwal Pelajar dan Dr Thuraya Farhana Said untuk Penglibatan dan Perkongsian.

    Lawatan itu sejajar dengan objektif teras program MBA UBDSBE, yang memberi tumpuan kepada melengkapkan pelajar dengan kecekapan kepimpinan moden, mengembangkan pengetahuan industri mereka, dan merapatkan jurang antara pembelajaran teori dan aplikasi praktikal.

    Peserta akan mendapat pendedahan secara langsung kepada operasi pelabuhan antarabangsa, proses pembuatan, inisiatif penyelidikan dan pembangunan, dan ekosistem perniagaan yang lebih luas di Guangxi.

    Dalam lawatan itu, peserta berpeluang mengadakan lawatan ke tapak utama, seperti Pelabuhan Automatik Antarabangsa Guangxi, lawatan ke Projek Penjanaan Kuasa Fotovoltaik Pelengkap Cahaya Ikan 80MWp, dan dua buah institusi akademik terkemuka, Guangxi University dan Beibu Gulf University.

    Penglibatan tersebut menawarkan pengetahuan unik tentang logistik, teknologi, operasi pelabuhan dan amalan perniagaan terbaik.

    Rombongan MPC bergambar ramai sebelum berlepas ke Guangxi, China. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Rombongan UBDSBE bergambar ramai sebelum berlepas ke Guangxi, China. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda