Thursday, October 3, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rombongan negara ke Majlis Tilawah, Hafazan di Kuala Lumpur

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 03 OKT – Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, semalam berlepas ke Kuala Lumpur bagi mewakili Negara Brunei Darussalam sebagai hakim di Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-64 di sana.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar Dan Keugamaan) KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar dan Ketua Bahagian Kemajuan Syi’ar Islam KHEU, Haji Aziman bin Haji Awang Zaman.

    Jemputan dari Malaysia berkenaan merupakan satu penghormatan setelah sekali lagi diberi kepercayaan bagi menghakimi musabaqah (pertandingan) di Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-64 di Kuala Lumpur yang akan diadakan pada 5 hingga 12 Oktober nanti.

    Dalam pada itu, Negara Brunei Darussalam juga turut menghantar peserta qari, Pengiran Muhammad Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki peserta qariah, Dr Dayang Hajah Siti Wardah binti Mejar (B) Haji Abd Rahman sebagai wakil negara untuk menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-64 di Kuala Lumpur.

    Turut menyertai rombongan qari dan qariah yang telah berlepas semalam ialah Awang Mohammad Noor bin Haji Ibrahim, Pembimbing merangkap Pengurus Rombongan dan Dayang Hajah Nor Ismah Fatin Faridah binti Haji Rosbna, Pegawai Pengiring Perempuan.

    Sebelum bertolak bacaan doa selamat dibacakan oleh Awang Mohammad Noor bin Haji Ibrahim.

    Bacaan doa selamat sebelum berlepas.
    Haji Mohammad Rosli hadir mengucapkan selamat belayar bagi Pengiran Haji Haslin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda