Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Rombongan empat orang terdiri daripada tiga pelajar di peringkat pra universiti dan seorang guru pegawas dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) hari ini berlepas ke Jakarta, Indonesia bagi menyertai Persidangan Belia ASEAN-Italy (AIYC) ke-2 yang bermula pada 29 Mei hingga 31 Mei di Jakarta, Indonesia.
Pelajar-pelajar berkenaan ialah Awangku Izat Ryan bin Pengiran Haji Ahmad Sufri, Awang Amirul Mohammad Daniel bin Mohammad Kha’irul Yashdeey dan On Jia Xian serta guru pengawas, Dayang Ani Suryani binti Haji Bahe.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan itu ialah Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Pengiran Ali Shafie bin Pengiran Haji Abas; Ketua Kluster 3, Hajah Amal Nuriyah binti Haji Ahmad; Pengetua Maktab Sains, Dayangku Hajah Norhasima binti Pengiran Haji Hassan dan para pegawai Kementerian Pendidikan serta ibu bapa dan keluarga rombongan berkenaan.
Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Awang Amirul Mohammad Daniel bagi mewakili rakan-rakan lain melahirkan perasaan berbesar hati kerana mereka terpilih bukan sahaja mewakili sekolah, malah negara ke persidangan yang mengumpulkan belia-belia dari negara ASEAN dan Itali untuk bertemu, bertukar-tukar pendapat dan berbincang bagi mengemukakan penyelesaian untuk menangani masalah serata dunia.
Beliau menjelaskan semasa persidangan itu nanti, delegasi dari ASEAN dan Itali akan membincangkan mengenai dua tema utama bagi persidangan itu iaitu Pemerkasaan Belia dan Pendigitalan serta Perubahan Iklim dan Keterjaminan Makanan.