Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Rombongan yang terdiri daripada lapan pelajar dan dua guru dari Sekolah Rendah Mabohai dan Sekolah Rendah Rimba lll akan sertai Program Immersi (STEM) yang menjurus kepada lawatan sambil belajar ke Sekolah Kebangsaan Petra Jaya dan Sekolah Kebangsaan Matang Jaya di Kuching, Sarawak, pada 20 November hingga 22 November.
Sehubungan dengan itu, hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan berkenaan, kelmarin, ialah Pemangku Pengarah, Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan, Dr Eddy Fazlin bin Haji Amdan.
Turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah pegawai-pegawai dari JSS serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.
Program itu merupakan satu pengalaman di luar negara bagi guru pengawas dan pelajar yang terlibat secara langsung dalam pendidikan STEM, iaitu Sains (Science), Teknologi (Technology), Kejuteraan (Engineering), dan Matematik (Mathematics).
Melalui program berkenaan, para pelajar akan dapat meningkatkan minat dan kreativiti mereka dalam pendidikan STEM, di samping memupuk kemahiran berfikir mereka secara kritis.
Pelajar juga akan didedahkan kepada inovasi terkini di samping berpeluang menyaksikan bagaimana teori diaplikasikan dalam amalan. Pengalaman itu akan membolehkan pelajar menyesuaikan diri, mengamalkan dan mengongsi teknik baharu yang dipelajari dengan rakan-rakan untuk menambah baik projek mereka di sekolah nanti.
Penyertaan murid dan guru berkenaan juga adalah untuk memperkukuh hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan STEM di antara Brunei dan Malaysia.
Kolaborasi antara sekolah-sekolah yang terlibat juga akan dimantapkan bagi menjamin kelestarian Pendidikan STEM untuk sentiasa relevan dan berkembang maju di dalam mahupun di luar waktu kurikulum sekolah.
Semua di atas: Antara sesi bergambar ramai sebelum rombongan berlepas – Gambar serahan Kementerian Pendidikan

