Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Dalam usaha memperkukuhkan hubungan kerjasama pendidikan serta memupuk pemahaman budaya antara dua negara, Sekolah Rendah Beribi Telanai menerima kunjungan balas dari Sekolah Rendah Jurong, Singapura hari ini di bawah program persekolahan MOU School Twinning yang sedang memasuki kitaran kedua.
Kunjungan ke kediaman salah seorang ahli Majlis Perundangan Kampung (MPK) Jerudong melibatkan seramai 12 murid Tahun 5 dari Sekolah Rendah Jurong bersama empat orang guru pengiring serta 20 murid Tahun 6 dari Sekolah Rendah Beribi Telanai turut terlibat sebagai tuan rumah bagi lawatan berkenaan.
Turut hadir semasa lawatan berkenaan ialah Guru Besar Sekolah Rendah Beribi Telanai, Cikgu Isma Hidayyati binti Ismail.
Program lawatan bermula seawal pagi dengan kehadiran Ahli Jawatankuasa MPK Jerudong yang menyambut ketibaan rombongan serta memulakan persiapan bagi demonstrasi aktiviti makanan tradisional masyarakat Melayu Kedayan.
Rombongan lawatan pagi tadi disusuli dengan sesi taklimat ringkas, serta ucapan alu-aluan daripada Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang dan ketua rombongan.
Antara aktiviti utama ialah demonstrasi membuat kelupis sulang dan mendadih diikuti dengan demonstrasi teknik membungkus kelupis, lamban, lapat serta kaedah menjalin kelupis, yang merupakan antara makanan tradisional unik dalam budaya Brunei, khasnya masyarakat Melayu Kedayan.
Program ini turut memperlihatkan usaha Sekolah Rendah Beribi Telanai dalam memperkenalkan kepelbagaian etnik dan warisan negara, di mana sebelum ini, murid-murid Jurong telah diperkenalkan kepada tujuh puak utama melalui pakaian tradisional dan kini diperluaskan lagi dengan penyediaan makanan tempatan.
Rombongan kemudiannya menikmati jamuan serta diraikan dalam majlis penyampaian sijil penghargaan sebelum majlis bersurai.
Menurut Guru Besar Sekolah Rendah Beribi Telanai, program ini bukan sahaja memperluaskan pengetahuan murid, malah membuka peluang untuk mereka mengenali nilai kemasyarakatan dan budaya setempat dengan lebih dekat.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Madam Jannah Juri, guru pengiring dari Sekolah Rendah Jurong yang menyatakan penghargaan atas sambutan mesra serta pengalaman berharga yang diberikan sepanjang lawatan.
Program seumpama ini diharap dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang dalam usaha membina jalinan kerjasama pendidikan serantau yang berteraskan nilai budaya dan pemahaman bersama.
Semua di atas: Antara suasana semasa lawatan berkenaan. – Gambar oleh Rafi Rosli