Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Rombongan 25 ahli Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan lawatan ke Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di Batu Apoi, Daerah Temburong.
Rombongan yang diketuai oleh Penolong Pendaftar Kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM, Masna Hamidun itu dialu-alukan oleh Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN), Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail.
Semasa lawatan itu, rombongan telah diberikan taklimat mengenai PKBN termasuk sejarah, pengenalan, struktur serta statistik alumni dan hal ehwal latihan yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Pengiran Muhammad Nuur Hakiim bin Pengiran Anak Badi’Odzaman. Menurut beliau, perancangan PKBN akan datang antaranya menggalakkan lagi aktiviti atau kerja amal bagi alumni dengan kerjasama persatuan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Masna Hamidun juga menerangkan secara ringkas mengenai BSKN yang antaranya bertujuan bagi membentuk pemimpin Malaysia pada masa akan datang dengan menyasarkan para pelajar peringkat SPM sebelum menerima keputusan peperiksaan.
Selain taklimat, rombongan pelawat juga melawat ke blok-blok dan kemudahan termasuk struktur pelbagai latihan yang diterangkan oleh Pemangku Komandan Kem Latihan PKBN, Mejar (B) Haji Ahmad Fairuz bin Haji Zainal.
BSKN merupakan alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Malaysia yang dihasratkan untuk membina jati diri serta ketahanan mental, fizikal dan rohani para belia di Malaysia dan hampir serupa dengan PKBN yang diungkayahkan di Negara Brunei Darussalam sejak 2011.