Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Dengan matlamat untuk meningkatkan kefahaman dan memberikan pendedahan mengenai teknologi terkini yang memberikan impak mendalam kepada generasi baru, rombongan seramai 30 orang yang terdiri daripada 24 orang ahli Pengakap Tunas bersama pemimpin Pasukan Tunas 1021 Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata telah mengadakan lawatan ke Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), Seria, baru-baru ini.
Lawatan rombongan Pengakap Tunas yang diketuai oleh Pemimpin Pasukan Tunas 1021, Hajah Nor Rahmat binti Sidin serta dibantu oleh tiga orang sukarelawan itu dihasratkan untuk memupuk minat ahli-ahli Pengakap Tunas mengenai kepentingan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), memberikan peluang kepada mereka untuk mengenali secara dekat mengenai OGDC dan bagi mereka untuk melihat Pameran Sains ‘Bionic Me’.
Menerusi lawatan itu, ahli-ahli Pengakap Tunas mendapat ilmu pengetahuan dan pengalaman yang baru di samping menyaksikan pameran sains.
Mereka juga berpeluang mengikuti beberapa aktiviti seperti ‘Torando in the Bottles’ dan ‘R-Cars Making’ yang disediakan oleh pihak penganjur, yang mana aktiviti berkenaan menguji kecekapan berfikir, pengurusan masa dan kerjasama dalam kerja berkumpulan.

