Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Seramai 36 ahli rombongan Persatuan Bekas Pegawai Kerajaan dan Kakitangan Awam telah menjayakan Program Silaturahim dan Lawatan Kebajikan ke Bintulu dan Mukah, Sarawak, yang berlangsung dari 23 hingga 25 Mei lalu.
Rombongan tersebut diketuai oleh Yang Dipertua persatuan itu, Yang Berbahagia Pengiran Haji Nordin bin Haji Mahmud, dengan lawatan dimulakan di Surau Darussyakirin, Bintulu. Ketibaan mereka disambut mesra oleh Ketua Kampung Assyakirin, Pengiran Haji Hamdan bin Pengiran Haji Kereta bersama Jawatankuasa Surau dan Kampung.
Dalam program berkenaan, persatuan itu menyampaikan lebih daripada 300 helai pakaian kepada mangsa banjir besar yang melanda kawasan berkenaan baru-baru ini.
Turut disumbangkan ialah infaq dalam bentuk wang tunai, tikar sejadah, buku Yasin, naskhah Al-Quran serta keperluan ibadah lain kepada masjid dan surau setempat.
Di Kampung Jabai pula, Ketua Kaum, Jhonny Jimon bersama empat ketua kampung lain turut menerima sumbangan lebih 400 helai pakaian daripada rombongan persatuan. Sumbangan tambahan berupa telekung, pakaian wanita, buku-buku agama dan wang tunai turut diserahkan kepada Pengerusi Badan Khairat dan Surau Darussyakirin, Haji Wan Sulaiman bin Haji Wan Maulana.
Persinggahan terakhir rombongan adalah di Kampung Sungai Alo, Mukah, di mana Ketua Kampung merangkap mantan imam, Awang Musa bin Basri, menerima sumbangan yang sama.
Turut hadir dalam rombongan ialah Naib Yang Dipertua persatuan itu, Dayang Siti Seriana binti Haji Mohd Yusof, yang turut menyampaikan sumbangan kepada isteri Ketua Kampung Sungai Alo.
Sebagai penutup program, rombongan turut berkesempatan melawat perusahaan tempatan pembuatan keropok dan kuih sepit di kawasan berhampiran.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan persatuan itu dalam memperkukuh silaturahim dan melaksanakan tanggungjawab sosial melalui inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan. Persatuan itu berhasrat untuk meneruskan program sedemikian secara berjadual sebagai simbol keprihatinan terhadap masyarakat setempat.