Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Rombongan dari Republik Kosovo yang diketuai oleh Ketua Staf kepada Presiden Republik Kosovo, Learta Hollaj, hari ini telah mengadakan lawatan ke Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di Kampung Bolkiah ‘A’. Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada program rasmi negara sempena kunjungan Republik Kosovo ke Negara Brunei Darussalam.
Ketibaan rombongan disambut mesra oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.
Lawatan dimulakan dengan sesi menandatangani buku pelawat dan penyampaian cenderamata kenang-kenangan daripada pihak Yayasan. Ia kemudian diteruskan dengan sesi bergambar ramai serta lawatan ke beberapa inisiatif komuniti utama di kawasan perumahan tersebut, termasuk Pusat Pembangunan Komuniti Kampung Bolkiah dan bengkel tenunan tradisional yang mempamerkan kekayaan warisan budaya serta usaha pembangunan sosial masyarakat setempat.
Rombongan turut dibawa melawat salah sebuah rumah penduduk tempatan, Teratak Setiawan, serta berpeluang menyaksikan persembahan tradisional gulintangan yang dipersembahkan oleh para pelajar dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Lawatan itu mencerminkan hubungan dua hala yang semakin erat antara Brunei Darussalam dan Republik Kosovo, dengan penekanan terhadap penghargaan budaya dan pembangunan komuniti sebagai asas persefahaman antarabangsa.
Kampung Bolkiah yang terdiri daripada dua fasa – Kampung Bolkiah ‘A’ dan Kampung Bolkiah ‘B’- terletak di sepanjang Sungai Brunei yang bersejarah. Projek ini merupakan salah satu inisiatif sosial terbesar negara yang lahir daripada keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah terhadap kebajikan rakyat yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran besar pada tahun 1993.
Bengkel Tenunan Kampung Bolkiah memainkan peranan penting dalam memelihara seni tenunan tradisional Brunei dan memperkasa wanita tempatan secara ekonomi. Melalui kursus bertauliah, para wanita diajar kemahiran tenunan yang boleh menjana pendapatan dan memperkukuh peranan mereka dalam pembangunan komuniti.
Kini, Kampung Bolkiah dihuni oleh kira-kira 2,500 penduduk dan terus berkembang sebagai salah satu penempatan yang dinamik di Kampong Ayer, menggabungkan elemen warisan tradisional dengan kemudahan kehidupan moden.