Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 15 Nov – Seramai 70 orang termasuk 10 orang murid Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang Tutong hari ini telah mengadakan lawatan ke Cawangan Operasi ‘E’, Balai Bomba Bukit Beruang, Tutong.
Hadir mengalu-alukan murid-murid dan guru-guru sekolah berkenaan ialah Stesen Komander Balai Bomba Bukit Beruang, Pegawai Balai Yahya bin Sahat; Pegawai Penyiasatan Pencegah Kebakaran, Timbalan Pegawai Bahrin bin Haji Mohd Noor dan Pegawai Perhubungan Awam, Pegawai Balai Nur Halimatul Halimah binti Abdullah Chin.
Semasa lawatan itu, rombongan sekolah telah diberi taklimat lanjut mengenai Balai Bomba Bukit Beruang Tutong yang disampaikan oleh Pegawai Balai Yahya.
Murid-murid dan guru-guru seterusnya dibawa melawat ke dalam Bangunan Balai Bomba Bukit Beruang dan seterusnya berpeluang menyaksikan pameran alat-alat perkakas menyelamat, tatacara pemakaian baju PPE, menaiki jentera bomba dan cara-cara menggunakan hos yang terdapat dalam jentera bomba. Lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan poster keselamatan oleh Stesen Komander Balai Bomba Bukit Beruang kepada Guru Kanan Pentadbiran Sekolah berkenaan, Dayang Rokiah binti Ringgit.