Oleh Sim Y. H. –
TEMBURONG, 11 NOV – Rombongan terdiri daripada 88 orang pelajar serta 14 orang guru dan pegawai dari Kementerian Pendidikan Republik Singapura telah mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong, hari ini, bagi pelaksanaan Program Penyerapan Bahasa Melayu Pelajar Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam.
Hadir bagi mengalu-alukan ketibaan rombongan ke sekolah berkenaan ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Profesional), Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Hajah Suriani binti Haji Noor Hashim, pegawai-pegawai dari JSS, pengetua dan guru-guru sekolah berkenaan.
Program lawatan itu merupakan susulan daripada Mesyuarat Kumpulan Kerja ke-14 di antara Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Pendidikan Republik Singapura yang telah diadakan di Negara Brunei Darussalam pada 2024.
Program itu bermatlamat memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Singapura, memupuk pemahaman budaya setempat, mengukuhkan hubungan dua hala dalam bidang pendidikan, meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Singapura dan pelajar Negara Brunei Darussalam melalui pengalaman pembelajaran secara langsung dan autentik.
Di samping itu, ia bertujuan memperkukuh pemahaman budaya dan nilai-nilai serumpun melalui interaksi dengan komuniti tempatan, mengukuhkan hubungan strategik dan kerjasama pendidikan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura serta memberi pendedahan kepada sekolah-sekolah terlibat dalam melaksanakan program pertukaran pelajar bertaraf antarabangsa.
Rombongan itu akan berada di Negara Brunei Darussalam dari 10 hingga 14 November.
Lawatan rombongan diisikan dengan pelbagai aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah termasuk sesi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di bilik-bilik darjah yang telah disusun atur awal, bengkel sastera yang dikendalikan oleh dua orang pensyarah dari Universiti Brunei Darussalam, aktiviti dan pameran bahasa Melayu serta persembahan kebudayaan daripada pihak sekolah dan rombongan pelawat.
Program tersebut diharap dapat memberikan impak yang signifikan dalam memartabatkan bahasa Melayu, memperkukuh hubungan serantau serta menonjolkan peranan dan komitmen Negara Brunei Darussalam sebagai rakan strategik dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.




