Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Majlis Tadarus A-Quran Bulan Ramadan bagi rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Jabatan-jabatan di dalamnya berserta Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Tahun 1446H/2025M telah diadakan di Daerah Temburong bertempat di Pos Dakwah Kampung Selapon, Daerah Temburong kelmarin.
Majlis diadakan untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat di kalangan pegawai dan kakitangan KHEDN dan Jabatan-jabatan di dalamnya berserta ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim/Kampung dan pemimpin akar umbi serta menyemarakkan lagi bulan suci Ramadhan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

Majlis berkenaan dimulakan dengan tadarus Al-Quran dan Bacaan Tahlil serta Doa Selamat yang dipimpin oleh Ketua Unit Dakwah Temburong, Haji Hazimin bin Haji Metali.
Majlis diteruskan dengan penyampaian wakaf dan derma kepada anak-anak yatim yang disampaikan oleh tetamu kehormat sebelum mengakhiri majlis rombongan dengan sembahyang Asar berjemaah.

Turut hadir di majlis tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai Kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di dalamnya serta pemangku penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pemangku-pemangku ketua kampung, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid dan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Temburong berserta penduduk kampung sekitarnya.