Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah menghadiri International Social Security Association (ISSA) Regional Social Security Forum for Asia and the Pacific (RSSF Asia-Pacific) yang berlangsung pada 3 hingga 5 Disember di Riyadh, Arab Saudi dan telah dihoskan oleh General Organization for Social Insurance (GOSI), Arab Saudi.
Forum ini adalah satu platform bagi pakar-pakar keselamatan sosial mengongsikan pendekatan universal, berdayatahan dan mencukupi dalam konteks keselamatan sosial yang semakin berkembang.
Rombongan TAP terdiri daripada Pengarah Urusan TAP, Haji Mohd Adfarul bin Haji Maz Adanan serta pegawai-pegawai TAP.
Sesi forum diisikan dengan perkongsian perkembangan, kepentingan serta cabaran yang dihadapi dalam perspektif keselamatan sosial di rantau Asia Pasifik.
Di samping itu, TAP juga telah dianugerahkan dengan ISSA Good Practice Award for Asia and the Pacific Competition 2024 Certificate of Merit di bawah tajuk Transforming Brunei’s retirement landscape: National Retirement Scheme.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden ISSA, Dato’ Sri Dr Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed kepada Haji Mohd Adfarul.
Anugerah ini merupakan pengiktirafan peringkat antara-bangsa bagi penambahbaikan dan juga reka bentuk Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) untuk mencapai kedayatahanan, inklusiviti, dan memastikan anuiti sehingga sepanjang hayat kepada ahli-ahli yang produktif.
Forum tersebut diteruskan pada hari berikutnya dengan pembentangan berkaitan dengan amalan terbaik dan pendekatan yang inovatif dalam mendukung objektif keselamatan sosial melalui kaedah dan perkhidmatan yang disediakan.
Haji Mohd Adfarul telah membentangkan mengenai Transforming Brunei’s Retirement Landscape: National Retirement Scheme, yang telah memperkenalkan SPK.
Selain langkah-langkah yang telah diambil untuk mempertingkatkan kecukupan persaraan dan memastikan bahawa ia akan sentiasa dapat menghadapi cabaran-cabaran ekonomi, pelaburan serta demografi di Negara Brunei Darussalam.
ISSA telah ditubuhkan pada tahun 1927 di bawah naungan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang berpusat di Geneva, Switzerland dan adalah sebuah organisasi antarabangsa terkemuka di dunia berkaitan keselamatan sosial, dan ISSA kini mempunyai lebih 320 ahli institusi dari lebih 160 buah negara.