Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Seramai 13 pegawai daripada Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada lima pegawai pentadbiran dan lapan pegawai perubatan telah selamat pulang ke tanah air petang kelmarin setelah selesai melaksanakan tugasan rasmi sempena Musim Haji 1446 Hijrah / 2025 Masihi di Tanah Suci.
Rombongan yang diketuai oleh Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji selaku Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Pentadbiran), Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali telah berlepas ke Kerajaan Arab Saudi pada 3 Mei lalu bagi melaksanakan pelbagai persiapan awal bersama pihak berkuasa tempatan sebelum ketibaan para jemaah haji negara ke Tanah Suci.
Ketibaan rombongan disambut mesra di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei oleh Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Pengiran Haji Mohammad Khairuddin bin Pengiran Haji Yusoff; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abd Karim dan para ahli Jemaah Penasihat Haji serta pegawai kanan dari KHEU.
Majlis turut diserikan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Guru Ugama dan Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji bagi Musim Haji 1446 Hijrah / 2025 Masihi, Haji ‘Abdul Mu’iz bin Haji Amat.
Kepulangan pegawai-pegawai berkenaan menandakan selesainya salah satu fasa penting dalam pengurusan haji negara yang bertujuan memastikan kebajikan serta keselamatan para jemaah haji Brunei diurus dengan teratur dan penuh hikmah selaras dengan kehendak syarak dan garis panduan antarabangsa.
Semua di atas : Antara suasana kepulangan berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KHEU