Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Pihak Pendakwaan pada hari ini telah mengemukakan dakwaan terhadap seorang lelaki tempatan bagi kesalahan merompak sebuah kereta menggunakan senjata daripada seorang wanita dan melakukan serangan seksual terhadapnya.
Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada Mohammad Faizul Helmey bin Ahmad Umar, 31, kerana siasatan masih di peringkat awal.
Pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah Abdul Rahman terhadap defendan mendakwanya melakukan rompakan bersenjata, ketika mencuri sebuah kereta daripada mangsa berusia 44 tahun, menyebabkan ketakutan terhadap mangsa dengan bersenjatakan pisau lipat.
Kejadian berlaku di Kampung Bengkurong Masin pada waktu pagi 18 Oktober.
Pertuduhan selanjutnya mendakwa defendan, semasa di dalam kereta, tertuduh menggunakan kekerasan ke atas mangsa yang berniat untuk mencabul kehormatannya.
Majistret Nur Eleana DP Haji Hairol Arni menangguhkan kes tersebut kepada 8 Disember untuk polis melengkapkan siasatan buat sementara waktu.