TIDAK ramai yang menggemari taman pada konsep Inggeris kerana kebiasaannya pokok yang menjadi pilihan dalam konsep ini memerlukan penjagaan rumit.
Selain daripada itu, untuk mencetuskan sebuah laman berkonsepkan Inggeris memerlukan penggunaan ornamen dan elemen hardscape lain juga turut ditekankan.
Sesiapa sahaja yang berada di ruang laman dengan konsep Inggeris ini setentunya akan dapat merasai ketenangan dan suasana yang sangat nyaman.
Penggunaan basikal lama yang telah diwarnakan putih dengan deretan pokok vianca pelbagai rona menjadi elemen penyambut tetamu.
Beberapa pohon bunga kertas turut sesuai ditanam sebagai latar untuk mewujudkan hierarki. Pohon-pohon bunga kertas pelbagai warna mekar berkembang juga menambahkan lagi seri keindahan taman itu.
Pokok bunga kertas yang digantung pada deretan tiang putih bermotifkan flora disusun secara linear bagi mewujudkan suasana protokol.
Petunia, secara tradisinya ditanam sebagai tanaman gantung dan diolah dengan gaya berbeza.
Penggunaan pasu tinggi dan berkaki memudahkan Petunia tumbuh subur dan mewujudkan impak volume pada asas taman ini.
Tumbuhan berbunga
Tumbuhan berbunga memerlukan pancaran matahari secara terus dan mencukupi untuk memudahkan proses penghasilan bunga.
Jika cahaya matahari tidak mencukupi, bunga tidak dapat mekar dengan sempurna dan kadangkala boleh menyebabkan kudup bunga mati.
Hampir semua hardscape yang digunakan biasanya ditempah khas dan dicat putih, termasuklah batu bata yang dijadikan sebagai curb.
Sebagai kemasan pada lantai laman, rumput karpet dapat ditanam di bahagian tengahnya yang dikelilingi dengan ruangan berturap concrete imprint.
Rumput ditanam secara berselang dengan stepping stone untuk mewujudkan kepelbagaian tekstur dan warna.
Beberapa buah kerusi taman dan pergola turut digunakan pada konsep taman ini bagi mewujudkan ruangan santai.
Redup
Sesebuah ruangan taman juga akan kelihatan redup kerana dipenuhi dengan tumbuhan foliage seperti Yucca spp., Dieffenbachia spp, Aglaonema spp dan pelbagai lagi tumbuhan hijau yang dapat mewujudkan suasana tropika.
Ia direka bentuk berlainan untuk memberikan kepelbagaian kepada laman itu.
Namun penggunaan ornamen Inggeris tetap diutamakan sebagai pelengkap aksesori ruang.
Titisan air daripada air pancut memberi nilai tambah kepada suasana tenang dan sebagai latar bunyi memecah kesunyian sesebuah ruang.
Apa yang penting, minat bertaman dan kerajinan untuk menyelenggarakan perlu ada supaya keindahan taman berkonsep Inggeris dapat dinikmati sampai bila-bila. Selain itu, ilmu pengetahuan terhadap taman juga perlu dicari dan dipelajari kerana ia bakal menjadi faktor kejayaan kepada sesebuah taman. – Agensi